Khamis, 12 Ogos 2010

Bakal Terbit: 50 Fatwa tentang Akidah

Assalamualaikum warahmatullah.

Insya-Allah, tidak lama lagi, Pustaka Kesik akan mengadakan jualan buku Terjemahan 50 Fatwa Ulama' 'Aqidah yang diusahakan oleh Saudara Faiz Tanzizi, pelajar tahun satu fakulti Syari'ah Universiti Mu'tah. Buku tersebut dijangka akan diterbitkan oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA), di Jordan.

Saudara Faiz Tanzizi sebagai penterjemah dan penyusun fatwa-fatwa berkaitan akidah tersebut telah memilih 50 fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama antarabangsa seperti al-Syaikh 'Atiyyah Shaqar, al-Syaikh 'Ali Jum'ah, al-Syaikh al-Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, dan ramai lagi.

Fatwa-fatwa yang dipilih lebih condong kepada mazhab Asya'irah dan Khalaf. Selain itu, fatwa-fatwa yang terkandung dalam buku ini juga memaparkan jawapan bagi pihak Asya'irah dalam masalah-masalah khilafiyyah dalam akidah. 

Insya-Allah, buku ini akan dicetak di Jordan dengan ketebalan lebih kurang seratus halaman. 

Rabu, 11 Ogos 2010

Isnin, 9 Ogos 2010

Borang Kaji Selidik

Sila isi Barang Kaji Selidik Buku 'Dari Hati Kecil Kami' Cetakan Pertama 2010. Buka link: http://spreadsheets.google.com/embeddedform?formkey=dDlrTzZUQ3NjQ1N1ZVRhZ2VJT05WS1E6MQ

Segala kerjasama dari pihak tuan/puan kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Ahad, 8 Ogos 2010

Harapan Ramadan




Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah-Nya
Moga dapat kulenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin kubiarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmat-Mu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Judul: Harapan Ramadan
Kumpulan: Raihan

* Sila rujuk artikel Persoalan Muat Turun dalam blog http://alkutawisyah.blogspot.com berkaitan hukum muat turun nasyid.

Tawaran Mengarang Cerpen atau Novel 'Antara Sang Puteri dengan Sang Bidadari'

Assalamualaikum...

Al-Kutawi telah lama menulis sinopsis 'Antara Sang Puteri dengan Sang Bidadari' namun hingga kini masih belum mampu menghasilkan cerpen atau novel yang lengkap berdasarkan sinopsis tersebut. Jadi, al-Kutawi membuka peluang kepada mana-mana mahasiswa/wi untuk mengarang sebuah cerpen atau novel berdasarkan sinopsis tadi dan menyerahkan kepada Pustaka Kesik untuk diterbitkan. Cerpen atau novel tersebut menurut perancangan akan diedarkan ke seluruh Malaysia dan kumpulan pembaca sasaran adalah pelajar-pelajar sekolah sesuai dengan temanya. Sesiapa berminat, boleh hubungi al-Kutawi melalui ID Yahoo Messenger alkutawi_01.

1. Cerita ‘Antara Sang Puteri dengan Sang Bidadari’ bermula dengan kesyahduan alunan bacaan al-Quran oleh Jannah di dalam bilik guru perempuan di SMU (A) al-Iman. Ketika itu, tiada pelajar yang ada kecuali Izhar yang sedang membaca al-Quran dengan tarannum murattal Nahwand di musalla. Jannah memperdengarkan hafazan al-Quran dengan qiraat biasa iaitu ‘Asim riwayat Hafs di hadapan Ustazah Hazarah dengan beberapa kali ditegur. Selesai tasmi’, Jannah dan Ustazah berbicara mengenai pelajar baru dalam kelas Jannah, Izharul Haq. Kata Ustazah, Izhar nampak baik dan telah menghafal 25 juz al-Quran. Jannah tidak menjawab apa-apa. Selesai majlis bacaan al-Quran mereka, Jannah berjalan pulang ke rumah. Sebelum itu, Jannah teringat bahawa ia ada tertinggal kain sembahyang di musalla. Jannah terkejut kerana mendengar suara lelaki membaca al-Quran iaitu Izhar sedangkan sejak tiga tahun yang lalu, tiada seorang pun pelajar yang ingin membaca al-Quran di dalam musalla. Masing-masing ingin pulang cepat-cepat untuk menonton drama ‘Bawang Merah Bawang Putih.’ Jannah yang terkejut lantas terpesona dengan kemerduan suara Izhar dan Jannah tidak berganjak dari sana. Jannah tidak dapat meneka siapa yang membacanya. Tiba-tiba Izhar terdengar Jannah batuk. Terus Izhar turun dari musalla.

2. Di sekolah, Izhar mendengar seorang pelajar, Mustaqim memberikan tazkirah berkenaan cinta dan pergaulan. Izhar mendengar dengan khusyuknya. Antara buah bicaranya ialah cinta antara pelajar ditolak dan mesti berusaha untuk bergaul secara Islam. Elakkan daripada keluar berdua-duaan dengan pasangan kalaupun bercinta. Para pelajar termasuk Izzat yang mendengarnya mencemuh Mustaqim kerana menurut mereka, Mustaqim sendiri yang keluar bersama kekasihnya ke Kota Bharu baru-baru ini. Izhar tidak berkata apa-apa. Jannah tidak hadir ke sekolah kerana menjaga ibunya yang demam. Ibunya memberitahu bahawa arwah ayahnya ada memberikan pesanan kepadanya iaitu kalau hendak berkahwin, hendaklah dengan pemuda yang hafiz al-Quran 30 juz, mukmin yang soleh dan bertaqwa, berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah SAW, dan suka beribadah. Dalam fikran Jannah tidak terbayang sesiapapun yang dapat memenuhi syarat arwah ayahnya itu. Ia hampir berputus asa akan tetapi kata ibunya atas muka bumi ini, pasti Allah simpankan seorang pemuda yang baik untuk seorang perempuan yang baik.

3. Izhar disoal pada hafazan subjek Hadith oleh Ustaz Afifi. Izhar tidak dapat menjawabnya dengan baik. Ustaz memaafkannya kerana Izhar masih baru di sini. Lagipun, Ustaz menghormatinya sebagai seorang hafiz al-Quran. Kemudian, Ustaz menyoal Jannah. Jannah dapat menjawabnya dengan lancar sekali. Dengan sepintas lalu Izhar melihat wajah Jannah yang begitu indah. Izhar kemudiannya beristighfar. Kata kawan baru Izhar, Jannah amat sombong kerana tidak ingin berkawan langsung dengan pelajar-pelajar lelaki. Tambahnya pula, dengan pelajar perempuan sendiri pun Jannah kurang bercakap. Loceng berbunyi, semua pelajar keluar rehat kecuali Jannah dan Izhar. Demi menutup fitnah yang bebas berkeliaran di sekolah itu, Jannah keluar kelas dan pergi ke perpustakaan. Pelajar-pelajar penuh di perpustakaan membaca akhbar yang dipenuhi gambar-gambar maksiat. Pada masa yang sama, Zurriayati masuk ke dalam kelas. Jannah yang berpuasa pun menunggu rakan-rakan lain di atas kerusi batu di sebelah kelas di bawah terik mentari sehingga diperli pelajar lelaki “nanti hitam kulit awak yang putih melepak tu.” Sejenak kemudian, Jannah masuk semula ke dalam kelas apabila rakannya, Munirah masuk.

4. Pengawas menjalankan spot check dalam semua kelas kerana mengesyaki ada pelajar membawa barang-barang larangan ke sekolah. Hasilnya ditemui VCD-VCD filem Inggeris dan Melayu, majalah-majalah hiburan seperti Mangga dan URTV, telefon bimbit, surat cinta, dan alat-alat permainan. Izhar terkejut melihat keadaan ini. Ia tidak menyangka bahawa beginilah keadaan sebuah sekolah agama pada zaman ini. Kata seorang pengawas “ini baru sikit. Kami yakin ada banyak lagi yang disembunyikan oleh para pelajar.” Sebuah majalah URTV ditemui dalam beg Jannah padahal majalah tersebut bukan miliknya. Majalah itu dimasukkan oleh oleh Zurriyyati yang merupakan seorang pengawas untuk memburuk-burukkan nama Jannah kerana hasad akan Jannah yang memiliki kepintaran, kecantikan, dan keperibadian yang menarik pelajar-pelajar lelaki. Jannah menangis teresak-esak dan dipujuk oleh Ustazah Hazarah. Ustazah mempertahankan Jannah dan mengatakan bahawa ada orang memasukkan majalah itu ke dalam beg Jannah. Ustaz Abdur Rahim menerima perkataan Ustazah dan meminta maaf kepada Jannah.

5. Izhar berjalan-jalan di sekitar Kota Bharu bersama-sama rakan semaahad tahfiznya, Ilyasa’ untuk membeli buku-buku rujukan SPM. Izhar ternampak Izzat berjalan dengan dua orang pelajar perempuan yang ia yakini mereka bukan saudara perempuannya. Pelajar perempuan itu memakai tudung pendek dan berseluar sendat. Izhar menegur Izzat dan Izzat cuma membalas teguran Izzat dengan senyuman dan terus beredar ke sebuah kedai muzik. Izhar masuk ke dalam kedai buku agama, Jaafar Rawas. Semasa berada di dalam kedai buku itu, Izhar ternampak Jannah dengan bertudung labuh dan berjubah sedang mencari-cari kitab Arab dengan seorang perempuan. Izhar menyangka perempuan itu kakaknya. Sangkaan Izhar benar tatkala Izhar terdengar Jannah memanggil perempuan yang lebih tua itu dengan panggilan ‘kak.’ Jannah tidak perasan bahawa Izhar ada di situ kerana asyik menundukkan pandangannya. Ilyasa’ mendapati Izhar termenung dan menegurnya. Ilyasa’ bertanya akan Jannah. Izhar menerangkan sedikit. Ilyasa’ bergurau dengan mengatakan bahawa Jannah sesuai untuk menjadi isteri Izhar. Izhar bengang dan kemudiannya Ilyasa’ menarik semula gurauannya. Izhar membayar sebuah buku ‘Himpunan Nota Bahasa Arab SPM’ dan terserempak dengan Jannah yang turut membayar kitab berjudul ‘Faidhur Rahim fi Qiraat al-Quran al-Karim’ yang menghimpunkan tujuh jenis qiraat al-Quran yang masyhur. Izhar bertambah kagum dengan Jannah kerana kitab itu tidak mampu dibaca olehnya walaupun hampir khatam al-Quran dengan ustaz-ustaz di maahadnya. Izhar jadi malu kepada Jannah kerana kekurangannya itu dan berhasrat untuk mengatasi Jannah dalam penguasaan ilmu qiraat al-Quran.

6. Beberapa orang pelajar perempuan cuba untuk rapat dengan Izhar semata-mata untuk mengurat Izhar. Mereka bertanya tentang peribadi Izhar sehingga Izhar rimas dibuatnya. Pelajar-pelajar perempuan cuba menguji hafazan Izhar dan terbaca surah dalam juz 27 yang kata Ustazah kepada Jannah, belum dihafaz oleh Izhar. Izhar bukan ingin menunjukkan pencapaiannya dalam hafazan tetapi ingin membetulkan bacaan mereka yang salah. Jannah yang memerhatikan Izhar dan rakan-rakan sekelasnya itu merasa pelik kerana menyangka bahawa Izhar belum khatam hafazannya. Dalam pada masa yang sama, Ustazah masuk ke dalam kelas dan mengajar madah al-Quran. Ustazah membacakan surah al-Mulk dan tersalah menyambung sepotong ayat dalam surah itu dengan surah as-Sajadah. Izhar menegurnya demi memelihara al-Quran. Ustazah nampak terkejut dan meminta agar Izhar ke bilik guru selepas solat zuhur.

7. Dengan perasaan berdebar-debar (kerana menyangka akan dimarahi Ustazah kerana tegurannya pagi tadi), Izhar menemui Ustazah dalam bilik. Dalam hati Izhar, mujur ada Jannah untuk menemani mereka. Kemudian, Ustazah menerangkan bahawa Jannah ialah anak angkat Ustazah dan Ustazah menyatakan hasrat untuk menjadikan Izhar sebagai anak angkat. Dari situlah baru Izhar tahu bahawa Jannah telah menghafaz 17 juz dan hendak masuk juz ke-18. Izhar menolak pelawaan Ustazah kerana menganggapnya tidak perlu. Tetapi, Izhar meminta agar Ustazah mentalaqqi al-Quran qiraat Ibnu Kathir riwayat Qunbul kepadanya. Ustazah pula menolak tetapi beliau meminta Izhar agar datang ke rumah untuk bertalaqqi dengan suaminya, Ustaz Hafiz Azhari. Izhar setuju. Ustazah mengingatkan Izhar agar tidak melupakan pelajaran SMU dan SPM. Izhar mengadu akan kelembabannya dalam subjek-subjek seperti Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, dan Perdagangan. Ustazah mencadangkan agar Izhar mengikuti kelas tuisyen di Kota Bharu. Izhar pun setuju dan yurannya akan ditanggung oleh Ustazah. Izhar mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ustazah. Melalui pertemuan ini jugalah, Jannah mempastikan bahawa Izhar telah khatam hafazan al-Qurannya dan membandingkan Izhar dengan pemuda yang menjadi impian arwah ayahnya untuk menjadi suaminya. Pada masa yang serupa juga Izhar jatuh hati dengan Jannah.

8. Hati Izhar tidak lagi tenang dan selalu teringatkan Jannah. Jannah pula selalu teringatkan Izhar sehingga tidak mampu meneruskan hafazannya yang hampir memasuki juz ke-18. Jannah cuba memberitahu ibunya tetapi tidak terluah kerana memendam rasa malu dan merasakan bahawa masanya untuk bercinta belum tiba. Jannah tidak mahu mengorbankan SMU dan SPM-nya hanya kerana cinta.

9. Semasa menunggu bas di tempat menunggu bas, Izhar diajak untuk berbual dengan Mas Ilyana. Mas Ilyana cuba menariknya bergurau senda dan Izhar hampir-hampir terikut dengan gaya Mas Ilyana. Bas pun datang. Izhar dan Jannah yang turut ada di tempat menunggu bas tadi pun menaiki bas dan mereka tidak mendapt tempat duduk dan terpaksa berdiri. Izhar bertanyakan Jannah berkenaan peribadi Jannah iaitu tempat tinggal, ibu bapa, adik-beradik, dan pelajaran. Jannah yang pada awalnya agak malu untuk menjawab, menjawab juga pertanyaan-pertanyaan Izhar. Izhar bertanyakan kenapa Jannah selalu diam dalam kelas. Jawab Jannah, suasana di sekolah agama terlalu teruk dan kebanyakan pelajar di sana apabila seseorang itu menjadi rakan karibnya, pelbagai kata-kata kasar, umpatan, dan sebagainya timbul. Izhar bertanya lagi perihal pergaulan dalam sekolah. Jannah menjawab bahawa ramai pelajar lelaki dan perempuan berkasih-kasihan dalam kelas terutamanya tingkatan tiga yang mempunyai ramai perempuan yang gatal. Izhar dan Jannah pun diam dan terus begitu sehingga bas berhenti di Taman Haji Mat, tempat Jannah tinggal. Dalam hati Izhar terasa rasa cinta akan Jannah.

10. Izhar memurajaah hafazan al-Quran dengan adiknya di rumah. Banyak ayat hafazan Izhar yang hilang daripada ingatan termasuk ayat-ayat yang cukup diingatinya. Begitu juga dengan Jannah yang sedang mentasmi’ hafazan terbarunya kepada ibunya. Jannah tidak dapat menyelesaikan bacaan satu muka yang telah dihafaznya sejak enam hari yang lalu. Biasanya Jannah mengambil masa tiga empat hari untuk menghafaz satu muka surat. Jannah dan Izhar berasa serba salah dan merasakan bahawa mereka telah membuat maksiat pada petang tadi dengan bercakap-cakap dengan Izhar dan Jannah petang tadi; serta perbualan yang mesra antara Izhar dengan Mas Ilyana juga. Pada malam hari, Izhar bangun menunaikan solat istikharah untuk memilih sama ada ia sepatutnya berpindah ke sekolah lain atau terus kekal di al-Huda untuk mengelakkan diri daripada maksiat. Jannah uzur maka tidak dapat bersolat. Dia memuhasabah diri sendiri.

11. Di sekolah, Jannah digosipkan dengan Izhar oleh Mas Ilyana yang turut menaiki bas semalam. Rakan-rakan sekelas semuanya menyambut gosip itu dengan bersungguh-sungguh. Mulai saat itu, Izhar dan Jannah menjadi tertekan dan Jannah menangis kerana malu. Izhar dan Jannah mula menjauhkan diri antara satu sama lain. Jannah buat-buat marah kepada Izhar kerana tidak memadam papan putih sedangkan Izhar hari itu bukannya pun giliran tugas Izhar. Izhar menganggap Jannah membenci dirinya. Izhar berkecil hati.

12. Izhar pergi ke rumah Ustazah Hazarah untuk bertalaqqi al-Quran dengan suami Ustazah. Ustazah buat-buat bertanya mengenai gosip antara Izhar dan Jannah. Izhar menjelaskan bahawa mereka tiada apa-apa hubungan. Izhar terkejut setelah mengetahui bahawa Jannah menangis kerana malu dan tertekan dengan gosip itu. Izhar menyuruh Ustazah agar menyampaikan minta maafnya kepada Jannah kerana ialah yang memulakan perbualan dengan Jannah pada hari itu sehingga menjadi fitnah.

13. Jannah yang pada satu ketika menjadi terlalu rindu dengan Izhar menulis sepucuk surat yang mengatakan kepada Izhar bahawa ia tiada niat sama sekali untuk membuatkan Izhar berkecil hati. Jannah juga menulis bahawa ia tidak akan rapat dengan mana-mana lelaki sehingga masanya. Jannah memaksudkan ‘bercinta’ iaitu tidak akan bercinta sebelum masanya. Ia akan memberikannya kepada Izhar pada hari Ahad depan. Izhar pula sedang menulis surat untuk meminta maaf kepada Jannah kerana gosip itu dan akan berpindah sekolah untuk menebus kesalahannya itu.

14. Izhar bertekad untuk bertukar sekolah. Izhar dan ayahnya datang ke sekolah untuk mengisi borang perpindahan sekolah pada hari Ahad. Jannah hairan Izhar membawa banyak buku pada hari itu. Jannah diberitahu Ustazah bahawa Izhar akan berpindah. Izhar menemui Ustazah untuk mengirimkan sekeping surat dan sebuah buku sebagai hadiah kepada Jannah. Jannah enggan membuatkan Izhar menjadi tergelincir bermaksiat. Ia tidak sampai hati untuk memberikan surat yang ia tulis kepada Izhar walaupun melalui Ustazah lalu membuangnya ke dalam tong sampah. Izhar yang melihat Jannah membuang sesuatu ke dalam tong sampah kemudiannya mengutip semula surat itu.. Izhar lantas menyimpannya dalam saku (takut-takut dilihat oleh pelajar lain atau ayahnya). Izhar ingin mengucapkan selamat tinggal tetapi tidak sanggup semata-mata mahu menjauhkan diri daripada fitnah wanita. Ramai pelajar perempuan bertemunya buat kali terakhir dan ingin mencatit butiran peribadinya tetapi ditolak oleh Izhar.

15. Dalam kelas, Jannah memerhatikan kereta Izhar meluncur pergi dari kawasan sekolah. Izhar yang berada dalam kereta menahan rasa cintanya kepada Jannah. Dalam hati, mereka berdua memohon agar Allah menjadikan perpisahan itu sebagai satu jihad. Jannah pada petang harinya menerima surat dan hadiah Izhar dan menahan rasa sebaknya kerana baginya sebabnyalah Izhar berpindah. Izhar ketika itu juga sedang menatap surat Jannah yang remuk. Izhar berharap agar usahanya ini mendapat rahmat dan ganjaran daripada Allah. Jannah dan Izhar sama-sama berharap agar dipertemukan dengan pasangan sebenar yang dijodohkan oleh Allah taala yang lebih baik daripada Izhar mahupun Jannah. Jika tidak dapat di dunia ini, biarlah dapat di akhirat nanti. Izhar mengatakan dalam hati “aku memilih bidadari syurgawi daripada sang puteri, Jannah ini.”

Jumaat, 6 Ogos 2010

Bahtera Perubahan


Bahtera Perubahan...
Umat Islam perlu kembali seperti dahulu. Berpegang teguh dengan manhaj ulama-ulama silam adalah satu kewajipan kita. Antara manhaj mereka ialah menuntut ilmu bersungguh-sungguh dan mengembangkannya. Lihatlah pada hari ini, siapakah tidak kenal al-Imam Malik dan Ahmad bin Hanbal dengan ketokohannya dalam ilmu hadis serta al-Imam Abu Hanifah dan al-Syafi'i dengan keilmuannya dalam ilmu fiqh? Dengan usaha-usaha mereka, ilmu-ilmu keislaman semakin berkembang. Maka, muncullah cabang-cabang baharu ilmu-ilmu agama seperti ilmu usul fiqh, ilmu mushthalah al-hadits, dan sebagainya.
Lantaran itu, kami berhasrat untuk mengembalikan semangat salaf ini dalam dunia Islam pada hari ini. Semoga usaha kami diterima Allah. Oleh sebab sesuatu usaha perlu didukung dan disokong untuk mendapatkan natijah yang diharapkan, kami berharap kalian semua dapat membantu.
Antara hasil-hasil karya yang sedang kami usahakan untuk menyiapkannya ialah:
- Anak Cucu Nabi shallahu'alaihiwasallam yang Dipinggirkan
- Terjemahan 'Ulum al-Hadits
- Tazkirah Cinta
- Dari Hati Kecil Kami Cetakan Kedua
- Al-Ayat al-Munirah
Sesiapa yang mempunyai hasil karya yang bermutu, kirimkan kepada kami menerusi e-mel alkutawi_01@yahoo.com.my
Wassalam...

Dari Hati Kecil Kami

'Dari Hati Kecil Kami', karya mahasiswa tahun satu Universiti Mu'tah membincangkan keperluan perkahwinan semasa belajar dalam kalangan mahasiswa. Berpandukan dalil-dalil dari al-Qur'an dan sunnah, buku ini tampil membawa cadangan 'panas' untuk menyelesaikan masalah percintaan dalam kalangan barisan pemuda dan pemudi Islam.



Dapatkan terus dari pengarang dengan menghubungi ID Yahoo Messenger beliau: alkutawi_01. Stok masih berbaki 50 naskah.



*Kini, buku ini dalam proses penyuntingan untuk cetakan kedua. Ralat buku ini telah diterbitkan dalam blog http://alkutawisyah.blogspot.com